KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan setiap parti komponen Perikatan Nasional (PN) mempunyai hak untuk menamakan calon Perdana Menteri ke-11 (PM11) melalui platform tertinggi parti masing-masing bukan sekadar kenyataan media.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, langkah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM11 dibuat melalui Perhimpunan Agung Tahunan 2025 mengikut peraturan serta perlembagaan parti dan wajar dihormati.
“Mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) juga boleh melakukan perkara yang serupa dalam perhimpunan agung parti masing-masing yang merupakan platform tertinggi dalam parti kerana ia adalah keputusan yang sah dari segi undang-undang berbanding melalui kenyataan media atau platform-platform lain.
“Ini negara demokrasi dan setiap anggota komponen PN mempunyai hak untuk menamakan calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti masing-masing,” katanya hari ini.
Menurut beliau, cadangan itu berasaskan merit kepimpinan Muhyiddin, termasuk pengalaman luas, kemampuan menyelamatkan negara dalam krisis pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi dalam tempoh singkat.
“Krisis ekonomi, kewangan dan kehidupan rakyat hari ini memerlukan pemimpin yang berkemampuan, berpengalaman di pusat dan negeri, mempunyai rekod pentadbiran yang baik, kemampuan yang telah teruji serta keadaan negara yang menuntut pemilihan kepimpinan berdasarkan merit dan bukan sekadar mencuba-cuba,” ujarnya.
Tun Faisal menegaskan usul itu adalah keputusan parti Bersatu dan bukan keputusan gabungan PN malah ia mewakili suara majoriti ahli melalui sokongan sebulat suara para perwakilan.
“Usul daripada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 ini akan dibawa kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional dan perlu diputuskan secara konsensus dalam Majlis Presiden,” katanya.
Beliau menambah, Bersatu sentiasa berpegang pada prinsip menghormati hak parti lain, termasuk Pas, Gerakan dan MIPP, untuk membuat keputusan sama dalam platform mereka sendiri.
“Secara etika dan beradab, Bersatu tidak pernah menyentuh dan menamakan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti komponen lain sebagai calon Perdana Menteri.
“Seperti Bersatu, angkatlah keputusan ini ke dalam Majlis Presiden PN dan putuskanlah secara konsensus di sana,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor menegur Bersatu supaya tidak terlalu ‘ghairah bersendirian’ membuat keputusan politik penting atas nama PN termasuk berkaitan calon Perdana Menteri.
Sanusi berkata, sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.
Teguran yang sama juga dibuat oleh seorang lagi pemimpin Pas, Tan Sri Annuar Musa.
Tahun lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menafikan Muhyiddin telah disahkan sebagai calon rasmi PN bagi PRU-16 sambil menegaskan Pas wajar mengetuai gabungan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















