KUALA LUMPUR – Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) membeli 80 peratus pegangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Bukit Jalil Sentral Property Sdn Bhd (BJSP) pada harga RM1.58 bilion.

Urusniaga itu sekali gus menamatkan usaha sama yang tertangguh selama ini dan memberikan MRCB kawalan penuh untuk merangka semula projek berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata anak syarikat milik penuhnya, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB), telah menandatangani perjanjian jual beli saham dengan unit KWSP, Tanjung Wibawa Sdn Bhd hari ini, bagi memperoleh lapan juta saham biasa dan 1.13 bilion saham keutamaan boleh tebus dalam BJSP.

Sehingga 15 Ogos, RJSB telah pun memiliki 20 peratus pegangan dalam BJSP.

“Apabila cadangan pengambilalihan ini selesai, BJSP akan menjadi anak syarikat tidak langsung milik penuh MRCB,” katanya.

BJSP yang ditubuhkan pada 2017 dan terlibat dalam pembangunan hartanah, memiliki tiga lot tanah komersial pegangan pajakan di Bukit Jalil berkeluasan keseluruhan 308,840 meter persegi.

Tanah-tanah tersebut mempunyai tempoh pajakan 99 tahun yang berakhir pada Disember 2116. Nilai buku bersih gabungan tanah tersebut ialah RM1.49 bilion.

Namun, menurut penilaian bertarikh 10 Julai oleh IVPS Property Consultant Sdn Bhd, nilainya mencecah RM2.06 bilion.

MRCB berkata harga pembelian RM1.58 bilion itu ditentukan berdasarkan prinsip “willing buyer, willing seller” selepas mengambil kira penilaian aset bersih terlaras oleh KPMG Corporate Advisory Sdn Bhd berjumlah RM1.57 bilion.

Katanya lagi, perjanjian itu hanya melibatkan premium kecil sebanyak RM5.1 juta atau 0.32 peratus berbanding penilaian KPMG.

Pengambilalihan itu juga merangkumi pendahuluan pemegang saham berjumlah RM69.2 juta yang sebelum ini telah diberikan oleh unit KWSP kepada BJSP, yang mungkin perlu ditanggung MRCB sekiranya BJSP gagal membayarnya semula.

MRCB berkata pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman.

Dari segi pendapatan, kumpulan itu berkata kesan pro forma menunjukkan keuntungan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) akan meningkat daripada 1.43 sen kepada 2.37 sen, manakala aset bersih sesaham naik daripada RM1.03 kepada RM1.06.

BJSP pada asalnya merupakan usaha sama antara MRCB dan KWSP untuk membangunkan projek bercampur yang merangkumi menara pejabat, hotel, kedai runcit, pangsapuri servis dan menara kediaman.

Namun, rancangan asal itu tertangguh akibat gangguan berkaitan pandemik serta peningkatan kos.

“Memandangkan tiada kemajuan dan ia tidak berjalan seperti yang dirancang, pihak-pihak terlibat telah menimbangkan alternatif lain termasuk semakan semula pembangunan bercampur itu tetapi gagal mencapai keputusan muktamad,” kata MRCB.

MRCB berkata, penilaian semula projek telah dijalankan oleh pihaknya dan syarikat itu mungkin menyemak semula campuran hartanah bagi menyesuaikan dengan permintaan pasaran serta keperluan pembiayaan, termasuk kemungkinan menambah pusat data.

Tambahnya, kedudukan tanah yang strategik dengan akses rangkaian baik serta berhampiran Taman MRANTI (Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation) menjadikannya berpotensi menarik bagi pengendali pusat data.

“Dengan permintaan yang semakin meningkat, pengendali pusat data kini aktif mencari tanah alternatif berdekatan, sekali gus meningkatkan minat terhadap tanah ini. Tanah tersebut boleh berfungsi sebagai hab lebih besar kepada komuniti dinamik dan kolaboratif di MRANTI,” jelasnya.

Namun, MRCB menegaskan kajian kebolehlaksanaan dan kajian alam sekitar akan dijalankan sebelum sebarang pembangunan dimulakan.

Memandangkan KWSP adalah penjual dan juga pemegang saham utama MRCB dengan pegangan 36.2%, pengambilalihan ini dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan.

Kenanga Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas bagi menilai keadilan perjanjian tersebut.

Pengambilalihan ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa, serta kelulusan pengawalseliaan dan kontrak. Ia dijangka selesai menjelang suku kedua 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast