Pelakon, Amy Mastura pada sidang media teater bertajuk 'Cik Ros' aitu tribute kepada tokoh seni persembahan terkenal Allahyarhamah Dr Rosminah Mohd Tahir ketika di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Amy Mastura mengakui dia menerima tawaran setiap tahun untuk menyertai program realiti, Gegar Vaganza (GV) sepanjang 11 musim bersiaran yang lalu.

Namun wanita berusia 54 tahun itu terpaksa menolaknya kerana dia seolah-olah trauma terbabit dengan pertandingan nyanyi selepas menyertai Asia Bagus di Jepun pada 1993.

Penyanyi lagu Jawapan Kasih dan Meniti Hari itu berkata, ini kerana dia memiliki perasaan ‘jiwa kacau’ selain tidak mampu berdepan tekanan yang akan dihadapi sebelum menaiki pentas.

“Saya tidak suka perasaan macam itu. Saya fikirkan stres dan tekanan yang akan dihadapi nanti.

“Lagi pun kalau diikutkan, saya tidak sehebat (artis lain) yang sertai pertandingan itu. Jadi, saya fikir, buat apa masuk bertanding kerana sudah tahu kemampuan sendiri,” katanya ditemui pada sidang media teater Cik Ros di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, baru-baru ini.

Penerbit, Sitiroy Atan dan pengarah, Hamzah Tahir bersama barisan pelakon pada sidang media teater bertajuk ‘Cik Ros’ aitu tribute kepada tokoh seni persembahan terkenal Allahyarhamah Dr Rosminah Mohd Tahir ketika di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2025.

Amy terbabit dalam pementasan penghargaan kepada tokoh seni persembahan terkenal, Allahyarham Dr Rosminah Mohd Tahir yang akan berlangsung selama tiga hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, mulai 19 September ini.

Teater arahan adik Allahyarham Rosminah, iaitu Hamzah Tahir turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Ziela Jalil, Juhara Ayob, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Amy yang sudah bergelar hajah selepas menunaikan haji tahun lalu berkata, buat masa ini pilihan untuk memperlahankan karier muzik adalah keputusan sendiri.

Namun segalanya bergantung kepada tawaran diterima pada masa akan datang, kata ibu kepada dua anak itu.

“Kalau kerja kerajaan dengan usia sekarang, saya sudah pencen. Jadi, eloklah alihkan perhatian untuk mencari bekalan akhirat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast