ISKANDAR PUTERI – Pengendali Palestin, Ihab Abujazar tidak mahu menggunakan alasan tiada pemain utama dalam barisan pasukannya menjadi punca kekalahan 0-1 kepada skuad Harimau Malaya.
Menurutnya, selain ketiadaan mereka dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Palestin dan Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi, pemain utama berkenaan juga tidak beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Tanpa mereka persiapan kita tidak terjejas termasuk memberikan kesan kepada persiapan pasukan. Lagipun, mereka (pemain utama berkenaan) turut tidak beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Apa pun, tahniah buat pasukan Malaysia yang saya lihat telah banyak menunjukkan peningkatan dan kini menjadi antara pasukan yang kuat,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, katanya, kehadiran ramai pemain warisan dan pemain naturalisasi dalam Harimau Malaya tidak mempunyai kaitan dengan keputusan perlawanan.
Malah katanya, kesemua pemain berkenaan merupakan ‘pemain Malaysia’ dan mereka telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan.
“Kehadiran mereka tidak ada kaitan dengan keputusan perlawanan. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, mereka adalah pemain Malaysia.
“Tetapi saya perlu berikan pujian kepada pemain saya kerana dalam tempoh 20 minit terakhir, kami mampu memberikan tekanan hebat kepada mereka,” katanya.- MalaysiaGazette
















