KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang turut mengesahkan kehadiran.
Manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin sedang mempertimbangkan secara serius untuk hadir.
“Kita bernasib baik. Walaupun dengan isu tarif, Presiden Donald Trump hubungi saya dan memaklumkan beliau akan datang ke Malaysia bulan depan bersempena Sidang ASEAN.
“Premier China, Li Qiang juga akan hadir. Presiden Putin pula berjumpa saya di Beijing dan menyatakan beliau sedang menimbangkan secara serius untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas AmBank malam ini.
Beliau secara berseloroh turut berkata, dengan kehadiran tiga pemimpin kuasa besar dunia itu, Kuala Lumpur akan berdepan kawalan keselamatan yang sangat ketat.
“Saya kata, baiklah. Kalau ada Donald Trump, Vladimir Putin dan Li Qiang, maka Kuala Lumpur akan jadi lockdown penuh,” tambahnya.
Dalam majlis itu juga, tetamu telah dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat, Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim, yang menyerikan majlis dengan diiringi oleh Pancaragam Universiti Malaya (UM).
Persembahan itu memberikan sentuhan peribadi oleh pengasas bank tersebut sebagai kenangan untuk para tetamu.
Majlis makan malam itu mengumpulkan kepimpinan, rakan kongsi, pelanggan dan pengawal seliaAmBank untuk memperingati lima dekad pertumbuhan, perkhidmatan dan sumbangan Bank tersebut di bawah semangat ‘Malaysia Kita’.
Sempena memperingati jubli emasnya, majlis turut menampilkan pelancaran maskot unta AmBank dengan penampilan serba baharu, Aman.
Maskot itu pertama kali membuat penampilan sulung dengan kontinjen AmBank semasa Perarakan Kemerdekaan Negara ke-68, memaparkan intipati perpaduan, kemajuan dan kebanggaan negara. – MalaysiaGazette
















