KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini secara rasmi menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2), Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan berkata, pelaksanaan akta-akta tersebut merupakan pelengkap usaha kerajaan untuk menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri,
Katanya, ia merupakan tindakan lanjut selepas pembentangan ketiga-tiga Rang Undang-Undang (RUU) itu di Parlimen, pada dua tahun lalu.
“Sejak ketiga-tiga RUU ini diluluskan di Parlimen pada tahun 2023, (BHEUU, JPM) bersama KKM serta semua agensi-agensi pelaksana telah bekerjasama dan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu berhubung pelaksanaan kuasa-kuasa Pegawai Intervensi Krisis (PIK) di bawah seksyen 11, Akta 615 untuk menyelaraskan usaha tindakan awal) oleh PIK apabila berlakunya cubaan bunuh diri pada masa hadapan,” demikian menurut kenyataan bersama berkenaan.
Penguatkuasaan itu sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (Word Suicide Prevention Day) 2025, hari ini.
Jelasnya, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan seorang yang cuba membunuh diri boleh didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga satu tahun
pemenjaraan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Manakala, RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 pula memperkenalkan PIK yang terdiri daripada pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kata kenyataan itu, PIK diberikan kuasa sewajarnya untuk bertindak di bawah seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] apabila berlakunya sesuatu cubaan untuk membunuh diri.
“Kuasa ini antara lain bertujuan membawa seorang yang telah cuba membunuh diri ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta 615,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, PIK boleh membawa individu ke jabatan kecemasan hospital kerajaan terdekat yang telah diwartakan untuk tujuan penilaian dan rawatan awal.
“Dalam hal ini, KKM juga sedang dalam peringkat akhir mewartakan hampir semua hospital KKM serta dua hospital universiti sebagai hospital psikiatri kerajaan, yang
melibatkan sebanyak 145 buah hospital yang boleh menerima rujukan PIK termasuk bagi kes di kawasan pedalaman.
“Manakala latihan khusus berkenaan pengurusan individu tersebut oleh PIK juga akan dimulakan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaan yang seragam di seluruh negara,” tambah kenyataan itu.
Dalam masa yang sama kenyataan itu menegaskan, kesalahan bagi persubahatan bunuh diri masih dikekalkan.
Selain itu, kesalahan persubahatan percubaan membunuh diri diperkenalkan di bawah seksyen 306 Akta 574 dan seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan yang berkaitan di bawah seksyen 305 Akta 574.
“Fokus utama kesalahan ini adalah melibatkan golongan kanak-kanak dan golongan kurang keupayaan mental kerana golongan ini adalah terdedah kepada situasi di mana mereka mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh seorang pelaku.,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















