PUTRAJAYA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (The 9th International Conference on Social Sciences and Humanities – ICOSH 2025) yang mengangkat tema Hubungan Manusiawi: Sains Sosial dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi.
Persidangan berprestij melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) itu memberi tumpuan kepada pelbagai bidang ilmu sains sosial dan kemanusiaan termasuk kerja sosial, psikologi, bahasa, sastera, komunikasi, keselamatan, budaya, politik, agama, digital, ekonomi dan lain-lain.
Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh berkata, ICOSH 2025 merupakan medan unggul untuk pertukaran idea dan kerjasama rentas negara yang mampu memberi impak besar terhadap pelbagai bidang sains sosial.
“Kita telah menyaksikan pertukaran ilmu, idea dan inovasi yang luar biasa sepanjang persidangan ini.
“Usaha semua pihak telah berjaya mewujudkan platform terbaik bagi menyatukan dunia akademik dan industri serta mendorong perbincangan bermakna yang akan mencorakkan hala tuju hubungan manusiawi dan kecerdasan buatan teknologi.
“Pelbagai pembentangan kertas kerja, forum panel, bengkel dan syarahan utama telah dianjurkan, mencerminkan kepelbagaian pendekatan dan kepakaran antarabangsa dalam menghadapi cabaran era global,” katanya ketika berucap pada persidangan itu di sini hari ini.
ICOSH 2025 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Profesor Dr. Kadaruddin Aiyub.
Suffian menambah, penganjuran persidangan itu yang telah berusia 20 tahun itu mencerminkan komitmen berterusan FSSK dan UKM dalam membudayakan ilmu dan perkongsian penyelidikan terutama di dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
Justeru katanya, ICOSH 2025 merupakan pentas penting untuk meneliti interaksi antara keinsanan dan kecerdasan buatan khususnya dalam menangani cabaran serta kesan transformasi teknologi terhadap masyarakat global.
Menurut beliau, ICOSH 2025 menjadi platform pertemuan ilmuwan, penyelidik, pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan pendekatan strategik serta membentangkan hasil kajian dalam usaha mendepani era baharu ini.
“Melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, persidangan ini menghimpunkan lebih daripada 200 delegasi yang hadir secara secara fizikal dan secara maya dengan sokongan rakan strategik seperti Tenaga Nasional Berhad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Abelink, Kalam Printing dan Kumpulan Penyelidikan The Media Initiative.
“Penganjuran ICOSH 2025 sekali lagi membuktikan komitmen UKM untuk terus berkembang sebagai hab pendidikan serantau yang mendukung inovasi dan kolaborasi global dalam bidang sains sosial, seiring tuntutan era kecerdasan buatan dan teknologi.
“Melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM memperteguh usaha kolektif bagi memperdalam kefahaman, memperluas kerjasama dan memperkasakan tindak balas terhadap isu-isu sosial global yang semakin kompleks,” katanya. – MalaysiaGazette
















