Pengarah dan juga Pengurus sebuah syarikat yang ditahan dalam Op Lung semalam di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat dan seorang pengurus ditahan dalam operasi khas  membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras melalui manipulasi borang pengisytiharan barangan import dan eksport semalam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua individu terbabit yang berusia 30 dan 40-an ditahan dalam Op Lung sekitar Lembah Klang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kedua-dua suspek lelaki ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini.

Susulan tangkapan itu, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek selama tiga hari sehingga 12 September 2025 bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Difahamkan, SPRM turut melakukan serbuan ke atas 15 syarikat dan lima premis perniagaan yang disyaki berfungsi sebagai gudang simpanan haram.

Dalam serbuan tersebut, pasukan penyiasat berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai diseludup masuk tanpa sebarang pengisytiharan cukai kepada kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, anggaran awal mendapati nilai cukai yang tidak diisytiharkan adalah sekitar RM500,000 namun jumlah itu dijangka terus meningkat apabila siasatan diperluas ke beberapa premis lain yang telah dikenal pasti.

“Setakat ini, SPRM telah membekukan 14 akaun syarikat dan empat akaun individu melibatkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Jumlah ini dijangka meningkat susulan pengesanan penglibatan beberapa lagi syarikat dan individu yang dipercayai bersubahat dengan sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan sama.

Menurut Azam, siasatan kini memberi tumpuan kepada elemen rasuah, penipuan melalui perisytiharan palsu, pengubahan wang haram serta pengesanan aset yang berkaitan dengan sindiket berkenaan.

Tambah beliau, lebih banyak tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat bagi membongkar keseluruhan rangkaian kegiatan penyeludupan terbabit. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast