Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari.

KUALA LUMPUR – Israel semakin berani meluaskan pencerobohannya ke negara berdaulat lain apabila buat pertama kali menyerang ibu negara Qatar, Doha semalam.

Menurut Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Jismi Johari, tindakan Israel itu menimbulkan persoalan negara mana yang bakal menjadi sasaran seterusnya regim Yahudi itu.

“Gaza sedang diubah menjadi tanah perkuburan di depan mata dunia, dan kini Israel berani meluaskan pencerobohannya ke negara berdaulat lain. Persoalan yang mesti kita semua tanyakan ialah: negara manakah yang akan diserang Israel selepas ini?” kata Jismi.

Beliau menegaskan, tindakan Israel sebagai berbahaya dan mengancam kestabilan serantau dan menetapkan duluan yang sangat berisiko.

Sementara itu Penasihat MAHAR Nurul Izzah Anwar mempersoalkan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa dan menggesa perlindungan diberikan segera kepada orang awam.

“Setiap hari dunia teragak-agak, semakin banyak nyawa yang terkorban. Diam bererti bersekongkol. Kami menyeru ASEAN, OIC, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta kepimpinan Malaysia untuk menuntut perlindungan segera bagi orang awam, menegakkan akauntabiliti dan menghentikan peluasan tanpa undang-undang ini sebelum seluruh rantau terjerumus ke dalam api konflik,” kata Nurul Izzah.

Media melaporkan, Israel melancarkan serangan udara menyasarkan pemimpin kanan Hamas di ibu negara Qatar pada Selasa.

Sumber Hamas melaporkan, serangan itu menyasarkan pasukan perunding kumpulan itu yang bertemu untuk membincangkan tentang tawaran gencatan senjata terbaharu oleh Amerika Syarikat.

Sementara itu MAHAR turut mengecam tindakan Israel yang terus mengeluarkan arahan pemindahan orang awam di Gaza sedangkan sempadan wilayah itu terus ditutup, jalan-jalan dimusnahkan, dan koridor kemanusiaan dihalang.

Katanya, tindakan Israel merupakan satu jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan sebahagian daripada kempen pembersihan etnik Israel yang berterusan.

“Tentera pendudukan Israel telah mengeluarkan ancaman meluas terhadap penduduk di seluruh Bandar Gaza, memaksa keluarga menuju ke Al-Mawasi – kawasan yang digelar “zon kemanusiaan” tetapi sebenarnya sudah sesak dan kekurangan perkhidmatan asas.

“Seluruh komuniti dipaksa meninggalkan rumah mereka di bawah bedilan bom, sementara hospital, sekolah, dan infrastruktur penting dimusnahkan secara sistematik. Hasilnya adalah kebuluran buatan manusia dan bencana perubatan yang sengaja dikenakan terhadap jutaan orang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast