KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya kementerian berkaitan digesa mengadakan perbincangan atau sesi meja bulat dengan para usahawan tempatan yang kini tertekan dengan kemasukan produk murah secara berskala besar dari China serta caj platform e-dagang yang semakin meningkat.
Peguam korporat, Akmal SK berkata, usahawan dan jenama tempatan kini terpaksa bersaing secara tidak adil dengan syarikat luar dengan kapasiti lebih besar sebagai pengilang yang menjual produk mereka pada harga yang disifatkan tidak masuk akal.
Sehubungan itu, bagi melindungi kelangsungan usahawan tempatan yang masih bergelut untuk bangkit selepas Covid-19, beliau mencadangkan kerajaan memperketatkan Akta Persaingan 2010 bagi memastikan persaingan yang adil.
Kerajaan tidak boleh bertoleransi dan perlu mengambil tindakan perundangan terhadap syarikat gergasi yang meletakkan harga terlampau rendah yang kebiasaannya di bawah kos pengeluaran yang boleh membunuh usahawan tempatan, katanya.
Selain itu, tambah beliau, kerajaan juga perlu mengawal kemasukan pelaburan asing dengan mekanisme yang cekap, ketat dan menyeluruh.
“Kita mengalu-alukan pelaburan asing tetapi kawalan dari sudut gatekeeping rules perlu diwujudkan selain meletakkan syarat minimum, keperluan menghantar laporan kos atau perlu menggunakan vendor tempatan.
Ini bukan soal lemah dan tidak mampu bersaing, tetapi ini soal strategi yang bijak dan pantas supaya pelabur asing tidak ambil kesempatan atas `keterbukaan’ dan `kebaikan’ kita,” katanya menerusi laman sosial Facebook.
Sementara itu, Akmal turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Akta Pasaran Digital seperti mana yang dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam mengawal perniagaan online.
Katanya, Akta Pasaran Digital di EU merupakan peraturan yang digubal ntuk mewujudkan pasaran digital yang lebih adil dan lebih kompetitif dengan mengawal selia platform digital besar yang dipanggil gatekeepers.
“Peraturan ini menetapkan beberapa perkara antaranya yang wajib dibuat dan tidak boleh dibuat oleh syarikat-syarikat bagi mengelakkan amalan yang tidak adil,” katanya.
Selain itu kerajaan juga perlu berani mengambil langkah perlindungan sementara (safeguard measure) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi melindungi industri tempatan disebabkan ancaman kemasukan mendadak barangan import.
Sebagai contohnya, jelas beliau, kerajaan boleh mengenakan cukai tambahan, mengehadkan barang yang dibenarkan dibawa masuk, memperkenal peraturan khas untuk melindung dan memberi ruang barangan tempatan untuk `bernafas’ terlebih dahulu.
Menurutnya, usahawan tempatan bukan takut untuk bersaing dengan syarikat asing, namun ia perlu dilakukan dalam persekitaran perniagaan yang adil.
“Usahawan adalah penjana ekonomi negara. Konflik yang sepatutnya boleh ditangani dengan kebijaksanaan serta campur tangan pemerintah perlu dilaksanakan dengan kadar segera.
“Isu pasaran bebas dan terbuka ini perlu kita perhalusi untuk tidak membunuh iltizam usahawan-usahawan yang mempunyai potensi luar biasa di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















