KUALA LUMPUR – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar.
Ia bukan sahaja tidak berperikemanusiaan tetapi melanggar undang-undang antarabangsa serta kedaulatan negara berdaulat, kata Setiausaha Agung WADAH, Azizuddin Ahmad.
Menurutnya, tindakan agresif itu bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam malah menggugat kestabilan rantau Timur Tengah yang sudah sedia rapuh.
“Tindakan provokasi Israel ini mengancam keamanan antarabangsa dengan menyasarkan Doha, pusat diplomasi dan perdamaian serantau.
“Israel menunjukkan sikap angkuh yang menolak usaha dialog dan mediasi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Israel melancarkan serangan terhadap kepimpinan Hamas di Qatar pada Selasa.
Menurut stesen televisyen al-Jazeera yang memetik sumber Hamas, serangan terbabit turut mengenai perunding gencatan senjata Gaza.
Media Israel pula melaporkan serangan itu menyasarkan tokoh kanan Hamas termasuk Khalil al-Hayya, Ketua Hamas di Gaza yang hidup dalam buangan dan perunding utama gencatan senjata.
Azizuddin juga berkata, WADAH berdiri teguh menyokong kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk serangan itu dan menuntut Israel dipertanggungjawabkan di peringkat antarabangsa.
“Keberanian Malaysia menyuarakan prinsip keadilan adalah contoh kepimpinan moral yang wajar diikuti dunia Islam dan komuniti antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, WADAH menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan segera bagi menghentikan kezaliman Israel bagi mengelakkan tercetusnya konflik lebih besar di rantau itu.
“Sokongan kepada Palestin tidak boleh dipisahkan daripada insiden ini. Serangan ke atas Qatar adalah sebahagian daripada strategi menekan negara-negara yang konsisten mempertahankan perjuangan Palestin.
“Justeru penyelesaian konflik Palestin mesti kekal berasaskan keadilan, pengiktirafan hak asasi rakyat Palestin serta penubuhan negara Palestin yang merdeka,” katanya.
Katanya lagi, solidariti Malaysia-Qatar-Palestin perlu diperkukuh dan WADAH mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama mendesak keadilan dan keamanan ditegakkan serta menolak penjajahan.
“WADAH menggesa negara-negara Arab dan dunia Islam mempertimbangkan langkah tegas dengan mengisytiharkan pemutusan hubungan diplomatik dengan Israel.
“Tindakan ini penting bagi memberi isyarat jelas bahawa keangkuhan Israel tidak boleh diterima dan akan mendatangkan implikasi politik serta diplomatik yang serius,” katanya.
Menurutnya, dunia mesti bersatu menolak keganasan negara Israel yang kini semakin jelas menjadi ancaman global. – MalaysiaGazette
















