PUTRAJAYA – Syarikat telekomunikasi diarahkan untuk memastikan proses pendaftaran bagi kad SIM prabayar menggunapakai My Digital ID yang bakal dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini.
Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) semalam.
“Ini akan mula dikuatkuasakan insya-Allah pada hujung tahun ini. Pihak MCMC akan susuli dengan maklumat yang lebih terperinci. Ini hasil daripada keputusan mesyuarat MED4IRN semalam.
“Langkah itu dijangka dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini, mungkin pada November ataupun Disember,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan yang mendedahkan platform media sosial TikTok sukar membendung kehadiran pengguna di bawah usia 13 tahun sekiranya sistem pendaftaran kad sim masih lemah.
Menurut Fahmi, kadar pendaftaran kad SIM prabayar menggunakan satu nama ketika ini tidak terkawal dan membimbangkan.
“Kita akan menilai aspek-aspek termasuk pada waktu ini jumlah kad SIM yang boleh didaftar atas satu nama, kita dapati adalah sangat tinggi.
“Contohnya seseorang itu boleh mendaftar dengan satu telco sebanyak lima kad SIM. Kalau kita ada 12 telco, maksudnya seseorang itu sendiri boleh ada 60 kad SIM.
“Tapi aspek ini yang kita sedikit risau kerana memang kalau hasrat kita adalah untuk memastikan aspek keselamatan termasuk bagi pengguna media sosial,” katanya.
Katanya lagi, langkah untuk mewajibkan syarikat telekomunikasi menggunakan sistem My Digital ID dalam pendaftaran kad SIM prabayar boleh mengatasi kelompangan itu.
“Jadi pendaftaran nombor-nombor telefon ini juga merupakan salah satu cara untuk kita tutup lubang, menutup kelompangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















