KUALA LUMPUR – Suasana tegang menyelubungi kawasan luar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini pagi ini apabila baki 15 penduduk berdepan tindakan pengusiran selepas enggan berpindah daripada kediaman mereka.
Sejak awal pagi, polis telah memasang khemah kawalan dan mengetatkan sekatan di laluan masuk namun beberapa penduduk enggan berganjak malah ada yang cuba melakukan provokasi tetapi berjaya dikawal.
Difahamkan, arahan pengusiran itu dibuat berlandaskan keputusan mahkamah manakala proses dilaksanakan sepenuhnya oleh bailif dengan kehadiran wakil undang-undang serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malah media juga tidak dibenarkan mendekati kawasan operasi atas faktor keselamatan.
Beberapa blogger dan aktivis, termasuk Rafidah Ibrahim dilihat membuat siaran langsung (live) di media sosial dari lokasi namun hanya segelintir kecil penduduk hadir memberi sokongan.
Kumpulan besar penduduk yang dijangka berhimpun bagi membantah pengusiran hari ini tidak kelihatan ketika tinjauan sekitar pukul 7 pagi.
Arahan pecah pintu juga terpaksa dikeluarkan apabila terdapat penduduk yang berkeras enggan berpindah walaupun suasana agak tegang.
Operasi tetap berjalan dengan kawalan ketat pihak berkuasa.
Pengarah KL City Gateway Sdn. Bhd. (KLCG), Abdul Hadi Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette menegaskan, pemaju menolak dakwaan syarikat akan melakukan gangguan atau menggunakan kekerasan terhadap penduduk.
“Proses ini sepenuhnya di bawah bidang kuasa mahkamah. Kami tidak akan dalam apa juga keadaan mengambil bahagian dalam tindakan yang melanggar undang-undang. Kehadiran kami hanya bagi memastikan kelancaran operasi,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya kesal dengan tuduhan sensasi oleh sebahagian penduduk yang hanya mencetuskan ketakutan dan kekeliruan tidak wajar dalam kalangan masyarakat.
Ia kali kedua operasi pengusiran dilaksanakan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu untuk mengeluarkan 14 keluarga gagal.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan KLCG sebelum ini mendapat tentangan keras daripada sebahagian penduduk yang enggan berpindah walaupun sebahagian besar lain telah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. – MalaysiaGazette
















