SHAH ALAM – Remaja lelaki berusia 18 tahun berperanan sebagai transporter syabu ke Sarawak antara lima warga tempatan yang diberkas menerusi beberapa siri operasi berasingan pada Selasa dan Rabu lalu.

Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen (JSJN) Selangor itu sekaligus mematahkan dua sindiket dadah.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, remaja tersebut ditahan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dua hari lalu ketika menunggu penerbangan ke Sarawak.

Remaja tersebut dipercayai menerima upah RM1,000 setiap kali membuat penghantaran dadah ke Sarawak.

“Pemeriksaan mendapati rampas lima bungkus plastik dadah syabu anggaran berat 4,501 gram,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Katanya, susulan itu pihaknya pukul 1.10 tengah hari telah menangkap dua pembekal dadah kepada remaja itu di sekitar Kuala Lumpur.

“Kami telah merampas sebanyak 89 bungkus plastik berisi syabu anggaran berat 86,795 gram dan tong putih berisi bahan cecair dipercayai syabu berat 5,850 gram.

“Ketiga-tiga suspek yang berusia 18 hingga 24 tahun itu semuanya penganggur. Seorang mempunyai rekod lampau jenayah manakala dua lagi tiada rekod lampau. Saringan (air kencing) ketiga-tiga mereka negatif dadah.

“Polis turut menyita sebuah kereja jenis Honda Accord bernilai RM25,000 bagi kes berkenaan,” katanya lagi sambil mengesahkan nilai rampasan dadah bagi kes tersebut mencecah RM16.7 juta dan nilai sitaan RM40,500.

Dalam pada itu, Shazeli memaklumkan satu lagi sindiket dipatahkan menerusi operasi yang dilakukan di Banting pada Selasa lalu.

Tambahnya,  dua lelaki menaiki sebuah kereta Mercedes ditahan di persimpangan kampu isyarat Banting dekat sini ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur kira-kira 3.45 petang.

“Hasil pemeriksaan polis telah merampas sebanyak 30 bungkusan berisi ekstasi anggaran berat 61,760 gram dan tiga bungkusan berisi dadah jenis erimin 5 berat 9,850 gram di ruangan tempat duduk belakang kereta tersebut,” jelasnya.

Salah seorang daripada dua lelaki yang berada di kenderaan itu bekerja dengan syarikat kontraktor binaan.

“Kedua-dua mereka berstatus duda seorang mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan dadah seorang lagi mempunyai 22 rekod lampau,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah yang dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang itu mencecah RM13.6 juta.

Sementara itu kelima-lima suspek direman tujuh hari di Bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan semua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast