KUALA LUMPUR – Pertahanan muda skuad negara, Richard Chin mengesahkan dirinya seorang muslim selepas melafazkan syahadah pada November tahun lalu – 10 bulan sebelum menerima perkhabaran mengenai peluangnya menyarung jersi Harimau Malaya.
Seiring dengan gerak hatinya untuk menerima Islam, Richard melihat negara warisannya, Malaysia sebagai pilihan tepat untuk berbakti dan untuk mendalami Islam dengan lebih baik.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, pemain kelahiran England itu berkata; “Saya melafazkan syahadah untuk menerima Islam pada November tahun lalu. Alhamdulillah, saya amat gembira untuk kini menjadi seorang muslim.
“Sudah pasti di sini saya dapat banyak sokongan daripada peminat sepanjang dua tahun lalu, ia memberikan saya motivasi yang besar untuk bermain buat negara ini. Memandangkan ini negara Muslim, ia menjadi lebih baik,” katanya yang beraksi di kelabnya, Raith Rovers di Liga Scotland.
Richard, 22, melakukan penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam Isnin lalu.
Pertahanan sayap itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-79, di mana dia menggantikan Quentin Cheng dan memastikan skuad negara mempertahankan kelebihan satu gol yang dijaringkan Joao Figueiredo pada minit ketiga sehingga ke wisel penamat.
Sebelum ini, ramai penyokong Malaysia terkejut melihat Richard memakai semasa menghadiri program meraikan skuad negara dan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor baru-baru ini.
Malah dia juga menunaikan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah dan momen tersebut dikongsikan pengurusan skuad kebangsaan di platform media sosial. – MalaysiaGazette
















