Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah injunksi terhadap Telegram dan dua pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas bagi melarang ketiga-tiganya daripada terus menyebar dan menerbitkan 33 artikel memudaratkan yang boleh mengancam ketenteraman masyarakat.

Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Telegram Messaging Inc yang merupakan pemilik aplikasi berkenaan dan kedua-dua pentadbir itu.

Mahkamah membenarkan injunksi yang menghalang kesemua defendan dan/atau ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada terus menutur, menulis, menyebar atau menerbitkan, menerbitkan semula atau mengedarkan kandungan yang memudaratkan.

Peguam, Datuk SN Nair yang mewakili SKMM selaku plaintif memberitahu demikian kepada pihak media selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar.

Nair berkata, bagaimanapun mahkamah menolak permohonan pihaknya bagi perintah injunksi mandatori yang mengarahkan kesemua defendan dengan serta-merta memadamkan semua kandungan palsu, mengancam dan jelik yang dirujuk sebagai kandungan memudaratkan daripada saluran berkenaan.

Katanya, pihaknya juga tidak berjaya mendapatkan injunksi mandatori bagi mengarahkan Telegram untuk menutup saluran terbabit dan mana-mana saluran baharu yang serupa.

Hakim berkenaan turut menetapkan 24 September ini untuk pengurusan kes.

Selain Nair, SKMM turut diwakili peguam Wong Guo Jin manakala Daniel Bock mewakili Telegram.

Dalam writ saman difailkan pada 1 Mei lalu, SKMM memohon perisytiharan bahawa defendan pertama dan kedua telah membenarkan dan memudahkan serta merestui penggunaan saluran itu untuk menerbit dan mengedarkan kandungan memudaratkan terhadap pihak terkilan di negara ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, SKMM berkata, saluran-saluran yang memudaratkan itu terlibat dalam kempen terancang antaranya merangkumi ucapan kebencian yang menyasarkan institusi diraja serta badan awam.

Kempen itu antara lain melibatkan penerbitan dakwaan palsu dan mengelirukan serta gangguan dan ugutan kepada penjawat dan serangan peribadi berniat jahat.

SKMM juga memohon perisytiharan bahawa Telegram membantu, bersubahat, memudahkan dan menyumbang kepada penerbitan dan pengedaran kandungan berkenaan oleh kedua-dua pentadbir terbabit.

Tindakan itu dilakukan dengan tidak memadamkan saluran berkenaan apabila diarahkan secara statutori, dan turut memohon perisytiharan bahawa Telegram telah melanggar peruntukan Seksyen 73(1)(a) dan Seksyen 263(2) Akta Komunikasi Dan Muktimedia (AKM) 1998.

Pada 19 Jun, SKMM mengumumkan pihaknya menyaman Telegram serta dua salurannya iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas kerana didakwa menyebarkan kandungan memudaratkan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan mengancam ketenteraman masyarakat.

“Langkah itu diambil selepas kegagalan Telegram sebagai pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)] untuk menangani kandungan berulang yang telah dilaporkan kepada pihak mereka.

“SKMM telah menjalankan pelbagai usaha rundingan dan kerjasama, namun tahap pematuhan platform itu masih tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast