TEMERLOH – Polis mengesahkan penahanan dua individu berhubung kes kecurian kabel penghubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di jajaran Temerloh dan Lanchang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan direman selama empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, turut dirampas ialah lima guni berisi kabel tembaga yang telah dipotong, satu gulung kabel tembaga, seunit pemotong kabel, beg, lampu kepala, sarung tangan, selain pelbagai peralatan elektrik termasuk grinder dan bateri.
“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam dua kes kecurian kabel di Temerloh dan Bentong.
“Suspek seorang penganggur berusia 34 tahun mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah manakala suspek kedua berusia 41 tahun seorang peniaga mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.
Semalam China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) mendedahkan kejadian kes kecurian kabel penghubung yang berlaku baru-baru ini di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Temerloh ke Bentong.
Dalam tempoh hanya dua minggu, katanya kabel penghubung sepanjang 1,080 meter antara Temerloh dan Lanchang serta 599 meter antara Lanchang dan Bentong telah dicuri.
Kejadian itu katanya telah menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional ini.
Sementara itu, Mazlan memberitahu, polis sedang mengenalpasti pembeli kabel penghubung ECRL yang dicuri itu dan maklumat lanjut berkaitan akan dimaklumkan semula dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Projek ECRL hadapi risiko penangguhan jika kecurian kabel berterusan
















