KUALA LUMPUR – China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) mengecam insiden kecurian kabel penghubung yang berlaku baru-baru ini di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Temerloh ke Bentong.
Kejadian ini telah menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional ini.
Menurutnya, sejak bulan Jun lalu, beberapa siri kecurian komponen rel yang bernilai tinggi, termasuk kabel dan transformer, telah dikesan di sepanjang jajaran ECRL.
Insiden terbaharu menunjukkan trend kecurian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kemajuan projek.
“Dalam tempoh hanya dua minggu, kabel penghubung sepanjang 1,080 meter antara Temerloh dan Lanchang serta 599 meter antara Lanchang dan Bentong telah dicuri.
“Kecurian ini bukan sahaja meningkatkan kos pembaikan dan penggantian, tetapi yang lebih membimbangkan, boleh menyebabkan kelewatan kepada perkembangan keseluruhan projek ECRL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
CCCERL menambah, komponen gantian yang ditempah khas memerlukan masa berbulan-bulan untuk diperoleh dan kelewatan ini turut menjejaskan peranan penting projek ECRL dalam membawa manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang kepada Wilayah Pantai Timur dan negara secara keseluruhan.
Tambahnya, CCCECRL telah membuat laporan polis di Balai Polis Lanchang, dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi siasatan lanjut.
Memandangkan jajaran projek merentasi 665 kilometer, usaha melindungi projek nasional ini turut memerlukan sokongan komuniti setempat.
Justeru CCCECRL menasihatkan orang awam tidak membeli mana-mana kabel elektrik atau komponen yang dipercayai milik projek ECRL.
Mereka turut dinasihatkan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis atau pejabat seksyen CCCECRL dengan kadar segera. – MalaysiaGazette
















