ALOR SETAR – Golongan muda (Gen Z) dan pengundi bandar khususnya di Wilayah Persekutuan menjauhi politik Islam yang diperjuangkan Pas kerana perspektif negatif yang terbina terhadap parti itu.
Perwakilan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Subhan Djupri berkata, ahli-ahli Pas sering dilihat oleh pengundi bandar dan Gen Z sebagai `geng masjid’ serta parti yang inklusif untuk `orang-baik-baik’.
Menurutnya, golongan itu juga melihat perjuangan politik yang dibawa Pas bersifat sempit, kolot dan tidak sesuai dengan zaman moden.
“Sehubungan itu, Pemuda Pas perlu membawa naratif Islam yang segar dan merupakan agama yang menjunjung keadilan, integriti serta membawa kemajuan.
“Kita juga perlu menonjolkan bahawa Pas bukan parti elit tetapi parti untuk semua lapisan masyarakat khususnya gamers, riders, pekerja bandar dan sebagainya,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda Pas sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Sementara itu, tambah Subhan, pengundi bandar dan Gen Z juga semakin muak dengan politik semasa apabila melihat ia menjadi platform kepada perebutan kuasa dan menabur janji palsu dengan Pas turut terpalit sama.
Pengundi bandar dan Gen Z menjauhi politik Islam bukan kerana membenci Islam tetapi kerana salah faham terhadap gaya penyampaian Pas yang lemah serta tidak menunjukkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi mereka.
“Sebagai jawapan, kita perlu membina naratif segar dan menawarkan solusi realisitik, berkhidmat dengan ikhlas dan menampilkan tauladan kepimpinan serta menggunakan platform digital untuk membawa mesej Islam sebagai agama rahmah,” katanya.
Tambah beliau, kemenangan Islam pada masa depan tidak akan berlaku tanpa sokongan anak-anak muda, justeru menjadi tanggungjawab Pemuda Pas untuk menawan hati pengundi bandar dan Gen Z untuk mendekati politik Islam. – MalaysiaGazette
















