JDT mengalahkan Penang FC 6-0, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya ketika berdepan Penang FC sehingga meraih kemenangan 6-0 pada aksi Liga Super di sini malam tadi.

Beliau berkata, kesebelasan pemain memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim terutama pada babak pertama apabila lima berjaya merobek gawang pelawat.

“Apa yang dapat saya katakan hanyalah ucapan tahniah kepada kesemua pemain yang telah memberikan aksi yang cukup cemerlang pada perlawanan kali ini.

“Kita juga dapat menyaksikan penyokong gembira dengan corak permainan yang dipamerkan sehingga berjaya mencatatkan kemenangan besar ini.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting di sini adalah untuk meneruskan kecemerlangan tersebut pada perlawanan-perlawanan akan datang,” kataya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada aksi berkenaan, skuad Harimau Selatan membuka jaringan pada minit ke-9 menerusi Jairo Da Silva, Arif Aiman Mohd Hanapi (min-18, 31), Joao Figueiredo (min-33), Antonio Glauder (min-52) dan Jon Irazabal (45+3).

Dalam pada itu Munoz berkata, skuad kendaliannya itu turut dilihat memiliki deretan peluang bagi meledak jaringan pada perlawanan tersebut.

Bagaimanapun ujarnya, peluang-peluang berkenaan dilihat gagal disempurnakan dengan baik oleh jentera serangan pasukan.

Jelasnya, perkara seperti itu antara kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan skuad Harimau Selatan itu tampil lebih mantap pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Pada perlawanan kali ini pemain berjaya menjaringkan enam gol, tetapi sebenarnya ada beberapa peluang gol lagi yang tidak dapat diterjemahkan.

“Perkara seperti ini akan diberikan perhatian agar situasi-situasi seperti mampu ditangani pada masa hadapan bagi merealisasikan jaringan,” katanya.

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast