ISKANDAR PUTERI – Penang FC seperti beraksi dalam dua situasi berbeza semasa menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Pengendali skuad Harimau Kumbang itu, Wan Rohaimi Wan Ismail yang berkata, antara punca kekalahan 0-6 di itu adalah kerana sindrom ‘lambat panas’ dan juga merasa tertekan.
Wan Rohaimi mengakui pemainnya nampak tertekan apabila berdepan pasukan lawan pada babak pertama hingga dibolosi lima gol.
Beliau berkata, tekanan dialami anak buahnya dapat dilihat hingga tidak beraksi dengan kekuatan penuh pada 45 minit pertama dalam perlawanan tersebut.
Bagaimanapun katanya, keadaan agak berbeza pada babak kedua apabila skuad Haria Penang Haria itu mula beraksi tanpa tekanan dan melakukan serangan ke kubu lawan.
“Secara keseluruhan, boleh dikatakan dua persembahan yang berbeza. Pada awalnya, pemain lambat panas dan situasi ini menyebabkan mereka dihukum JDT.
“Kita tahu mereka akan bermula dengan agresif untuk menekan kita dan kita tak dapat atasi perkara itu, malangnya kita pula yang dibolosi lima gol.
“Ketika rehat separuh masa, saya beritahu pemain jika mereka terus bermain seperti ini, semakin banyak gol akan di jaringan oleh JDT. Jadi, mereka bermain habis-habisan dan jelas separuh masa kedua memang nampak perubahan,” katanya selepas sidang akhbar selepas perlawanan.
Ketika diminta mengulas mengenai gol Dylan Wenzel-Halls yang dibatalkan, Wan Rohaimi menerima keputusan pengadil perlawanan dengan sebaiknya.
“Gol tersebut dibatalkan (setelah semakan video bantuan pengadil) kerana didapati berlaku kekasaran terhadap penjaga gol, jadi kita terima sahaja keputusan itu,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















