Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli menyifatkan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) berkaitan siasatan jenayah melibatkan ahli politik kini menjadi ‘anugerah kebesaran’ yang lebih bernilai berbanding pingat-pingat biasa.

Katanya, 68 peratus NFA kepada ahli politik yang dibuka kertas siasatan jenayah melibatkan ketiga-tiga Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, beliau berkata, semua parti dan ahli politik dari berbeza parti tidak boleh tuding jari antara satu sama lain dengan mengatakan siapa yang lebih teruk.

“Cara lain nak tengok kehebatan anugerah ini susah untuk disenarai pendek tetapi bila sudah masuk senarai pendek, peluang nak dapat anugerah ini mudah.

“Sebab 41 yang menerima dari 60 yang disenarai pendek itu bermaksud 68 peratus iaitu lebih dari dua pertiga akhirnya berjaya.

“Nilai anugerah kebesaran ini pula saya ingat mesti berjuta-juta, sebab setiap yang disenarai pendek mesti melibatkan urusniaga melibatkan juta-juta,” katanya menerusi perkongsian di X.

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, dengan jumlah berkenaan tidak hairan kenapa rakyat membandingkan perbezaan pendakwaan biasa dengan siasatan jenayah melibatkan ahli politik.

“Bila lebih dua pertiga diberi anugerah NFA dan tidak didakwa pun, saya fahamlah kalau rakyat bandingkan dengan layanan terhadap rakyat biasa yang dituduh mencuri susu.Saya pun sudah tak tahu nak komen apa.

“Kita balik main dengan kucing sahajalah macam ni,” selorohnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika persidangan Dewan Rakyat berkata, sebanyak dua pertiga daripada kertas siasatan dibuka antara 2020 dan Julai tahun ini bersabit kes jenayah melibatkan ahli politik telah diklasifikasikan sebagai NFA.

Azalina memetik data Jabatan Peguam Negara (AGC), sebanyak 41 daripada 60 kes dikategorikan sebagai NFA.

Namun Azalina menjelaskan pihak berkuasa diberi kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas kes yang diklasifikasikan sebagai NFA jika keadaan berubah pada masa hadapan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast