Pemuda PAS Negeri Sabah, Jumaidin Lakalla pada sesi perbahasan sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Pas Sabah perlu memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang bagi membuktikan parti itu benar-benar diterima di negeri berkenaan.

Sehubungan itu, perwakilan Pemuda Pas Sabah, Jumaidin Lakalla menyeru seluruh jentera Pas dari Semenanjung khususnya dari sayap pemuda turun beramai-ramai dalam memastikan kemenangan sulung Pas dapat dicapai pada PRN itu kelak.

Menurut beliau, seluruh jentera Pas perlu menyedari PRN-17 bukan semata-mata hak milik orang Sabah sebaliknya merupakan perjuangan parti Pas secara keseluruhan.

“Pas Sabah kini lebih bersedia berdepan PRN-17 berbanding pilihan raya sebelum ini, kita bawakan pelbagai perubahan, Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita sasarkan untuk ditandingi juga telah kita susun jenteranya.

“Kita perlu rapatkan saf di Sabah supaya PRN-17 menjadi benteng baharu perjuangan Islam sekaligus membuktikan Pas bukan hanya relevan di Semenanjung semata-mata tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda Pas sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.

Sementara itu, Jumaidin turut mencadangkan jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin dari Sabah sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menguasai kerajaan.

Jelas beliau, ia selari dalam mengiktiraf Sabah sebagai sebuah negeri yang setara dalam Persekutuan sekaligus dapat mengatasi masalah kemunduran yang disifatkan sangat besar juragnya dengan negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung.

Selain itu tuntutan supaya Sabah menjadi negeri yang setara dalam Persekutuan juga memandangkan banyak perkara yang dituntut rakyat Sabah yang perlu diberi didengari dan diberi perhatian.

Antaranya, tambah beliau, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); tuntutan royalti minyak serta dalam memastikan suara Sabah menjadi suara nasional.

Sementara itu, Jumaidin berkata, kira-kira 50 peratus pemilih Sabah pada PRN-17 merupakan golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun dan menjadi penentu utama hala tuju politik negeri itu, bahkan politik negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan Pas memberi tumpuan kepada masalah yang membelenggu majoriti golongan itu khususnya dari sudut peluang pekerjaan yang mana ramai golongan muda Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk mencari kerja.

“Sekiranya golongan belia itu bangkit, maka politik Sabah akan berubah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast