Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Pemuda Pas mencadangkan supaya satu pertiga daripada calon Pas yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah terdiri daripada sayap itu.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, cadangan itu bukan semata-mata kerana angka, sebaliknya merupakan simbol keyakinan Pas terhadap kemampuan anak muda.

Menurut beliau, kehadiran anak muda bukan sekadar untuk memanaskan pentas pilihan raya, tetapi merupakan latihan serta tarbiyah politik dalam melahirkan pemimpin masa depan.

“Anak-anak muda Sabah mesti diberi ruang untuk berani memimpin, kerana di bahu mereka terletak masa depan negeri itu.

“Kehadiran calon-calon muda juga sebagai tanda kita mahu membina politik baharu iaitu politik yang bersih, politik Solusi dan politik rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Tambah Afnan Hamimi, PRN Sabah tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sekadar gelanggang pilihan raya tambahan buat Pas, sebaliknya medan strategi untuk menentukan hala tuju politik negara.

Ujarnya, PRN Sabah perlu menjadi teras kekuatan perubahan dan Pas perlu memastikan penduduk Sabah turut merasai perjuangan parti itu di negeri tersebut, bukan semata-mata di Semenanjung.

“Sabah bukan hanya sebuah negeri, tetapi medan ujian sama ada politik Islam mampu diterjemahkan dalam konteks Borneo.

“Pemuda Pas juga melihat Sabah bukan sebagai kerusi tambahan, tetapi amanah besar dalam kita membela rakyat marhaen di Borneo,” katanya.

Apatah lagi, tambah beliau, meskipun Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber dan indah dengan alam semula jadi, namun dilihat masih ketinggalan dalam aspek pembangunan dan peluang.

“Sabah antara negeri yang kaya dengan hasil bumi, kelapa sawit, minyak dan gas, malah hasil laut juga melimpah ruah.

“Namun mengapa penduduknya masih dihimpit kemiskinan? Lebih menyedihkan, anak muda Sabah berdepan realiti yang jauh lebih getir daripada rakan sebaya mereka di Semenanjung,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast