Naib Cancelor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Sufian Jusoh.

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM2,788,560 juta kepada 1,248 pelajar baharunya sepanjang dua tahun lalu sejak 2023.

Naib Cancelornya, Prof Dr Sufian Jusoh berkata, jumlah itu melibatkan peruntukan Bantuan Kebajikan Zakat, Bantuan Kebajikan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Bantuan Kebajikan Lain-Lain.

Menurut beliau, sejak Januari lalu sehingga September ini, sebanyak bantuan bernilai RM89,000 telah disalurkan kepada 77 pelajar baharu melibatkan Bantuan Kebajikan Zakat dan Bantuan Kebajikan HEP.

“UKM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang pengajian di mana eberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) seperti Pusat Islam UKM dan Pusat HEP UKM serta beberapa PTj lain bertanggungjawab memastikan pelajar yang mempunyai masalah daripada segi kewangan, kesihatan, dan emosi sentiasa terjamin.

“UKM sentiasa berusaha memastikan pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan akan menerima bantuan yang sewajarnya dan akan membuat pengagihan dengan saksama bagi memastikan tidak ada pelajar yang tertinggal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai isu yang tular di media sosial ketika, Sufian berkata, pihak UKM telah menghubungi pelajar baharu itu bagi mendapatkan maklumat lanjut keadaan dan status keluarga

Jelasnya, Bantuan Awal Pendidikan Pelajar berjumlah RM1,200 akan diberikan kepada pelajar tersebut selain bantuan peralatan asrama dan kotak makanan serta bantuan bilik asnaf sepanjang satu sesi pengajian

“Pihak UKM juga akan memantau bukan hanya pelajar yang tular sahaja tetapi semua pelajarnya yang tidak berkemampuan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Ketika ini, sistem permohonan kebajikan juga hanya dihujung jari dan apa sahaja keperluan, pelajar hanya perlu klik di laman sesawang ePrihatin-UKM dan klik kepada pelbagai jenis bantuan yang sepadan sepanjang pengajian.

“Bantuan ini ditawarkan kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa dan agama, juga pelajar istimewa yang berlainan upaya,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan Kesusahan hidup dihadapi seorang pelajar, Muhammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam, 19, hingga menyebabkan dia tidak mampu membayar yuran pendaftaran bagi memasuki UKM

Pelajar berasal dari Jerantut, Pahang itu mungkin tidak mendaftar di UKM pada 27 September depan selepas keluarganya tidak mampu menyediakan yuran pendaftaran sebanyak RM1,200 susulan menghadapi masalah kewangan ekoran ayahnya menghadapi masalah strok sejak enam tahun lalu.

Mengulas lanjut, Sufian turut memberitahu, sejak 2023 hingga September ini, UKM telah memperuntukan bantuan berjumlah lebih RM16 juta untuk 20,239 pelajar tanpa mengira bangsa dan agama.

“Selain itu, UKM juga sentiasa mengalu-alukan pihak yang berhasrat untuk menyumbang kepada pelajar yang memerlukan dalam bentuk sumbangan atau biasiswa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast