Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi MARA di Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Cadangan pemansuhan program matrikulasi berpotensi mengehadkan peluang anak muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Bahkan, syor itu juga tidak selari dengan matlamat pembangunan pendidikan negara dalam jangka panjang, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk pembangunan negara.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kenyataannya menegaskan, matrikulasi adalah mekanisme penting yang bukan sahaja membuka jalan ke universiti, malah menjadi instrumen keadilan sosial dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang menjejakkan kaki ke menara gading.

Oleh itu, program matrikulasi wajar dikekalkan sebagai salah satu laluan signifikan ke institusi pengajian tinggi (IPT), demi menjamin akses pendidikan tinggi yang adil, inklusif dan seimbang untuk semua pelajar.

“UiTM percaya bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa komited dalam memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses pendidikan yang holistik serta adil, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Sebagai sebuah universiti awam yang sinonim dengan agenda pembangunan bumiputera, UiTM menegaskan ekosistem pendidikan tinggi negara adalah tanggungjawab bersama dan tidak wajar dijadikan polemik berpanjangan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pendidikan juga adalah asas pembinaan negara bangsa dan UiTM menyeru agar program matrikulasi terus diperkasa, bukan dipertikaikan kerana ia terbukti menjadi antara laluan akademik paling berkesan dalam membina modal insan yang lestari, cemerlang, dan berdaya saing pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast