KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat Cabang Bandar Tun Razak mengambil tindakan drastik membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berhubung dua insiden berasingan yang menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan awam dan ketenteraman negara.
Naib Ketua Cabangnya, Jonathan Vela menegaska kedua-dua insiden itu merupakan tindakan yang serius, mengecewakan membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berulang pada bila-bila masa lagi.
Menurutnya, laporan pertama berkaitan insiden di Kampung Sungai Baru melibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang cedera di bahagian kepala selepas dipercayai dibaling dengan objek keras ketika menjalankan tugas rasmi.
“Kerajaan telah memberikan ruang demokrasi untuk rakyat bersuara, tetapi apabila tindakan itu sampai mencederakan pegawai keselamatan, lebih-lebih lagi seorang Ketua Polis Daerah, ia sudah melampaui batas dan jelas menyalahi undang-undang.
“Pihak-pihak tidak bertanggungjawab seperti ini yang melakukan provokasi serta menanam naratif tidak betul dalam kalangan rakyat sehingga mengundang emosi seperti ini perlu dihentikan sama sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Difahamkan laporan kedua pula dibuat terhadap rakaman video tular yang memaparkan seorang individu dalam sebuah perhimpunan menyampaikan ucapan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jonathan menegaskan, kenyataan sedemikian bukan sahaja keterlaluan malah boleh mengundang kegusaran dalam kalangan rakyat.
“Kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri adalah amat berbahaya. Ia boleh mencetuskan keresahan awam, mengganggu ketenteraman negara dan perlu disiasat segera oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau menambah, Keadilan Bandar Tun Razak memandang serius kedua-dua isu ini kerana ia bukan sekadar soal politik, tetapi menyentuh soal keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir membuat laporan, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Bandar Tun Razak yang menyatakan kecaman keras terhadap kedua-dua insiden tersebut.
Mereka menegaskan bahawa perbuatan mencederakan pegawai polis serta mengugut pemimpin negara adalah budaya yang tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi.
Jonathan turut menyeru semua pihak agar menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan pandangan atau bantahan, bukannya dengan cara provokasi atau tindakan ganas.
“Kita mahu membuatkan penegasan, kita sentiasa menghormati kebebasan bersuara, tetapi ia perlu dilaksanakan dalam ruang lingkup undang-undang. Jika ada ketidakpuasan hati, gunakan saluran dialog dan rundingan. Tindakan ganas dan ugutan hanya akan merosakkan keharmonian negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















