KUALA LUMPUR – Seramai 63 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sekitar Bintulu, Sarawak kelmarin.
JIM Sarawak dalam kenyataan berkata, operasi bersepadu dinamakan Ops Sapu itu dijalankan Pasukan Tindakan Khas (PTK) JIM Sarawak bersama Unit Penguat Kuasa Imigresen Bintulu dengan kekuatan 34 anggota.
“Sepanjang operasi, 80 individu diperiksa di beberapa lokasi, dan daripada jumlah itu 42 lelaki serta 21 wanita dicekup kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.
Sehubungan itu, JIM menegaskan, tindakan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
Pihaknya turut mengingatkan majikan supaya tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa pas atau permit kerja yang sah. – MalaysiaGazette















