Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika gimik perasmian sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Gimik perasmian Muktamar Pemuda Pas kali ke-66 yang mana Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden menaiki motosikal RXZ membawa mesej realiti anak-anak muda hari ini.

Menurut Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin, gimik itu yang mendapat perhatian meluas di media sosial berjaya mencapai matlamatnya dalam membuka mata pelbagai pihak terhadap cabaran yang perlu dihadapi generasi muda kini.

Jelas beliau, anak muda negara hari ini hidup dalam keadaan yang tertekan yang mana kos sara hidup semakin tinggi, harga barang naik, subsidi makin kurang dan cukai bertambah, namun gaji mereka tidak bergerak seiring.

Naib Ketua Pemuda PAS Muhammad Hanif Jamaluddin ketika gimik perasmian sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

Ujarnya, ramai graduan terpaksa menjadi rider (pekerja p-hailing dan e-hailing) untuk mencari rezeki manakala pasangan muda terpaksa menangguh membeli beli rumah disebabkan harga yang tidak masuk akal.

Selain beban ekonomi, tambahnya, generasi muda kini juga tertekan dari sudut emosi, sosial dan spiritual.

“Hidup dalam dunia digital yang sentiasa bising, maka media sosial jadi guru, trend jadi kiblat, sampai ramai keliru antara fakta dengan fitnah.

“Tekanan ini membuatkan ramai hilang arah, mudah marah, cepat putus asa. Masalah mental makin meningkat, malah ada yang sampai ke tahap bunuh diri

“Inilah yang dihadapi generasi Gen-Z dan Alpha iaitu generasi yang bakal tentukan masa depan politik Malaysia,” katanya.

Menurut Hanif, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan anak-anak muda Melayu khususnya bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang melahirkan `gelombang hijau’.

Namun, tambah beliau, perlu diingat sokongan mereka umpama benih yang mana jika dijaga akan tumbuh subur sebaliknya jika cuai dan diabaikan akan menjadi lalang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menurunkan tandatangan ketika gimik perasmian sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

“Mesejnya ialah Pemuda Pas tidak boleh menjadi sekadar mesin pilihan raya. Pemuda Pas mesti turun mendekati anak muda, faham resah mereka, tawarkan solusi Islam yang realistik dan bukan janji kosong,” katanya.

Tambah beliau, meskipun cabaran untuk menguasai anak muda itu besar, namun ia juga datang dengan peluang yang besar.

Katanya, jika Pemuda Pas berjaya menawan hati golongan muda dengan dakwah segar, tarbiyah berkesan dan akhlak yang indah, tidak mustahil mereka bukan sekadar menjadi penyokong, tetapi turut menjadi sahabat seperjuangan dan pewaris kepimpinan negara.

“Insya-Allah, Pemuda Pas akan bergerak sekuat deruman RXZ mengharungi cabaran hari ini dengan solusi politik Islam kepada anak muda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast