ALOR SETAR – Usul Dewan Pemuda Pas yang mahu parti Islam itu memimpin Perikatan Nasional (PN) dibenarkan untuk perbahasan dalam Muktamar Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah esok.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Jawatankuasa Usul Muktamar Pas Pusat.
“Usul Pemuda supaya Pas memimpin PN, saya difahamkan Jawatankuasa Usul Muktamar Pas Pusat meluluskan untuk ia dibahaskan esok,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Jumaat lalu, Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 meluluskan usul agar parti Islam itu gagasan PN dan menampilkan calon Perdana Menteri bagi mendepani pilihan raya akan datang.
Usul berkenaan dibentangkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar mendapat sokongan sebulat suara daripada lebih 750 perwakilan yang hadir.
Khairul Nadzir berkata, Pas memiliki signifikasi politik nasional yang tidak boleh dinafikan dan layak tampil sebagai peneraju dalam PN selain pencapaian politik serta senioriti parti tertua dan berpengalaman. – MalaysiaGazette















