KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau di Jalan Kampung Alor Parit di Kuala Terengganu awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3.10 pagi.
“Mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah, 20, menunggang motosikal dari arah bandar Kuala Terengganu menuju ke rumahnya di Kampung Undang sebelum melanggar haiwan berkenaan yang berada di tengah jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















