NILAI – Seramai 67 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa (PBBKS) dalam satu majlis penuh gemilang yang diadakan di Dataran Canselori, USIM baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 28 orang pelatih kohort ketujuh dan 39 orang pelatih kohort kelapan telah berjaya menamatkan latihan kebombaan dengan program kokurikulum berkredit.
Naib Canselor Prof Datuk Ts Sharifudin Md Shaarani menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian mahasiswa yang berjaya ditauliahkan.
“Majlis ini bukan sahaja pengiktirafan kepada mahasiswa yang berjaya menamatkan latihan, malah bukti kerjasama erat antara USIM dan Jabatan Bomba serta usaha bersama melahirkan graduan holistik,” katanya.
Dalam tempoh lapan tahun sejak 2017, seramai 200 mahasiswa telah ditauliahkan melalui program ini, sekali gus memperkukuh nilai kepimpinan, sahsiah, disiplin dan semangat berbakti kepada masyarakat.
Beliau turut menegaskan inisiatif ini melengkapkan mahasiswa dengan pengetahuan sains kebombaan, kemahiran menyelamat, dan nilai tanggungjawab sosial yang tinggi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Ts. Ahmad Izram Osman dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama strategik antara universiti dan agensi keselamatan negara.
“JBPM amat berbangga dengan penglibatan USIM dalam melaksanakan program PBBKS ini. Ia bukan sahaja melatih mahasiswa dengan kemahiran teknikal, tetapi turut membentuk daya tahan, disiplin dan jiwa kepimpinan. Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa adalah aset penting dalam memastikan aspek keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Anugerah Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa Terbaik Keseluruhan kohort tujuh dianugerahkan kepada Nik Fatimah Al- Zahra’ Nik Mohd Rosdi,24.
Muhammad Suhair Zakwan Suhardi, 22 pula dianugerahkan Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa Terbaik Keseluruhan bagi kohort lapan. – MalaysiaGazette
















