Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

ALOR SETAR – Pas menerima keahlian baharu antara 2,000 hingga 3,000 orang secara konsisten setiap bulan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Setakat ini, keahlian Pas berjumlah kira-kira 1.3 juta orang di seluruh negara, selain turut mempunyai keahlian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Menurut beliau, keahlian Pas kini juga bertambah menerusi satu lagi kategori ahli baharu iaitu ahli bersekutu Pas apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Pas pada 8 Ogos lalu.

“Syarat menjadi ahli bersekutu Pas selain merupakan warganegara dan berumur 18 ke atas hendaklah beragama selain Islam.

“Maka, semua ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) (kira-kira 10,000 orang) yang sebelum ini hanya berstatus sebagai rakan Pas, kini secara automatik diserap sebagai ahli Pas dalam kategori ahli bersekutu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Panitia berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Muktamar Pas Pusat ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin menegaskan, Pas tanpa kompromi meletakkan ulama sebagai tonggak kepimpinan itu yang dibantu secara tersusun oleh kalangan teknokrat, profesional dan aktivis di semua peringkat sejak dari awal penubuhannya sehingga ke hari ini.

Menurut beliau, adalah amat jelas Pas dalam gabungan kepimpinan ulama dan umara telah berkembang secara progresif dan terpimpin ke arah konsep menegakkan agama serta menguruskan dunia dengannya.

“Pas sebagai sebuah parti politik meletakkan Islam sebagai dasar bermatlamat membimbing umah dan rakyat ke arah mencapai keredaan Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan dunia, lebih-lebih lagi akhirat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast