KUALA LUMPUR – Dakwaan pintu empangan di Loji Sungai Langat dibuka lewat sehingga menyebabkan banjir kerap berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Hulu Langat adalah tidak benar.
Air Selangor menjelaskan, operasi pintu empangan sentiasa dikawal dengan rapi mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Untuk makluman, pihak Loji Sungai Langat telah membuka pintu air pada waktunya. Tiada kelewatan semasa melaksanakan perkara tersebut.
“Sehubungan itu, dakwaan pengguna tersebut adalah tidak benar kerana pihak loji mempunyai prosedur serta pemantauan yang ketat dalam pengoperasian gate tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Pihaknya menegaskan setiap tindakan pembukaan pintu air dilakukan dengan mengambil kira faktor keselamatan penduduk serta tahap paras sungai semasa.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan penduduk Hulu Langat meluahkan kebimbangan apabila kejadian banjir semakin kerap berlaku sejak 10 tahun kebelakangan ini, berbeza dengan keadaan sebelum yang jarang menjejaskan kehidupan mereka.
Malah, ada antara penduduk mendakwa kelewatan membuka pintu empangan menjadi punca air naik mendadak di beberapa kawasan termasuk Kampung Sungai Serai. – MalaysiaGazette
















