Logo Polis Diraja Malaysia

HULU SELANGOR – Seorang lelaki Orang Asli berusia 47 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Cherandong, Kampung Orang Asli Buloh Telur, Kuala Kubu Bharu di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 12.45 tengah malam daripada adik mangsa yang memaklumkan abangnya, seorang pemotong rumput tidak muncul selepas mandi di sungai itu bersama seorang lagi rakan.

“Siasatan awal mendapati mangsa cuba menaiki sebuah rakit yang dibawa rakannya.

“Mangsa sempat berpegang pada bahagian tepi rakit, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia sempat naik atau sebaliknya kerana kejadian berlaku di selekoh sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain tiba di lokasi kira-kira jam 3 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan, namun sehingga jam 5 petang mangsa masih belum ditemui. Usaha pencarian akan disambung semula,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap aspek keselamatan diri ketika beriadah di kawasan rekreasi air sekitar Hulu Selangor bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast