SEGAMAT – Keris bukan sahaja senjata agung dalam dunia Nusantara malah lambang jati diri orang Melayu yang sering dikaitkan dengan peradaban terdahulu.
Jika dahulu digunakan untuk mempertahankan diri dan menjadi simbol kepahlawanan dan budaya, namun kini peranannya yang sudah berbeza dan tetap dihargai sehingga generasi hari ini.
Bagi Muhammad Nazrul Saliman, 29, keris yang dibentuk dengan lekuk dan rekaan bersimpang siur menjadi sumber rezeki tambahan kepadanya.
Semuanya itu dilakukannya di sebuah bengkel kecil di Felda Tenang, Labis di sini.

Dia sudah lali dengan bunyi ketukan besi dalam bengkelnya yang serba ringkas dan jauh daripada kemudahan moden.
Namun di situlah Muhammad Nazrul menyalurkan tenaganya untuk menghasilkan bilah keris bukan daripada besi seperti lazimnya, tetapi daripada batu kerikil yang dikutip di sekitar ladang sawit.
Minat luar biasanya terhadap senjata warisan Melayu bukanlah datang tiba-tiba. Ia berputik sejak zaman sekolah, ketika dia sering menemani arwah datuknya, seorang tukang besi disegani di Dungun, Terengganu.
Dari situlah dia belajar menghargai seni menempa logam dan falsafah yang terkandung pada setiap bilah keris.

“Arwah datuk menggunakan besi yang boleh dibeli di pasaran, tapi saya cuba jalan berbeza. Saya pilih cabaran menukar batu kerikil jadi besi sebelum dibentuk menjadi keris,” katanya ditemui di bengkel kecilnya.
Perjalanan menukar batu menjadi besi bukanlah kerja sekejap, ujarnya.
Katanya, batu kerikil yang dikutip perlu dihancurkan secara manual sebelum melalui proses peleburan.
“Serbuk kerikil itu dibakar dalam relau tanah pada suhu antara 1,200 hingga 1,400 darjah Celsius selama hampir sembilan jam,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.
Daripada proses itu katanya, hanya sekitar 40 peratus berat asal kerikil bertukar menjadi besi.

Ketulan besi kasar itu masih bercampur mineral lain lalu perlu dibakar dan ditempa berulang kali pada suhu melebihi 1,000 darjah Celsius, katanya lagi.
Dia berkata, hasil akhirnya ialah kepingan besi nipis, tulen, sedia untuk dibentuk.
“Untuk satu bilah keris, puluhan kepingan nipis ini akan dilapis, dipanaskan dan diketuk berkali-kali. Dari situlah lahir pamor pada bilah, corak unik yang jadi tanda istimewa setiap keris,” jelasnya.
Bagi Nazrul, keris bukan sekadar senjata atau hiasan, setiap lekuk (luk) pada bilah membawa falsafah dan bilangannya mesti ganjil mengikut tradisi.
Baginya, keris ialah warisan yang ada roh dan makna, lambang jati diri Melayu yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kerja menghasilkan keris bukan bakar dan ketuk semata-mata. Ia seni yang perlu dijaga dengan disiplin dan kefahaman tentang warisan bangsa,” katanya.

Seorang rakan, Salman Fariz Zaharin, 41, turut sama menyokong usaha itu yang mahir dalam pembuatan hulu dan sarung keris serta berpengetahuan tentang jenis kayu yang sesuai digunakan.
“Kerjasama kami menjadikan setiap keris lengkap – bilah, hulu, sarung. Kalau bilahnya roh, kayu pula jiwanya. Sama-sama melengkapkan senjata ini,” kata Salman.
Di tengah kesibukan dunia moden yang sarat dengan teknologi dan budaya popular serba segera, usaha seperti Nazrul ibarat menongkah arus.
Kata Nazrul, ramai anak muda sebaya lebih cenderung mengejar pekerjaan dalam bidang digital atau industri moden, manakala seni tradisi dianggap asing atau ketinggalan zaman.
Namun bagi Nazrul, cabaran itulah yang menjadikan kerjanya bermakna dan percaya warisan tidak boleh hanya disimpan dalam muzium, sebaliknya mesti terus dihidupkan dalam kehidupan sebenar.
“Kalau generasi muda tak belajar, siapa lagi yang akan meneruskan kerja ini? Keris bukan sekadar besi ditempa, ia lambang bangsa. Kalau hilang, hilanglah sebahagian daripada identiti kita,” katanya.
Pada zaman silam, keris berfungsi sebagai senjata peribadi, lambang pangkat, malah alat kebesaran diraja.
Hari ini, ia lebih banyak dijadikan koleksi, hiasan atau pelengkap pakaian adat istiadat. Namun, Nazrul percaya nilai falsafah dan seni tempa keris masih perlu dipelihara agar generasi akan datang tidak melupakan warisan ini.
“Selagi ada kudrat, saya mahu terus menempa keris daripada batu kerikil. Ini usaha kecil saya untuk menghidupkan kembali warisan nenek moyang,” katanya.- MalaysiaGazette
















