ALOR SETAR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) wajib mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya dalam pilihan raya sebelum ini.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, empat negeri yang dikuasai Pas dan PN merupakan negeri pangkalan yang wajib dipertahan.
“Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis yang telah dikuasai oleh Pas dan PN ialah ‘Negeri Pangkalan’ yang wajib dipertahan.
“Malah empat negeri ini perlu melaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.

Abdul Hadi juga berkata, kemenangan seterusnya bakal disumbangkan Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi Pas dan PN di peringkat Parlimen.
“Di samping itu, ia boleh melonjakkan pencapaian di negeri selatan dan juga di Sabah yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, Pas boleh berbangga dengan kejayaan terbesar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejak penubuhannya pada 1951.
“Ini adalah kejayaan terbesar apabila berkuasa memerintah empat kerajaan negeri dan mendapat jumlah terbesar Ahli Parlimen dibandingkan dengan parti-parti lain.
“Maka, kita berkewajipan meneruskan perjuangan mengisi kemenangan yang lebih mencabar daripada mencapai kemenangan,” katanya.
Katanya lagi, kejayaan itu membolehkan Pas menubuhkan State Government 4 (SG4) bagi mengendalikan empat negeri yang dikuasai parti Islam itu.
“Malah Pas memberikan penghormatan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat kenyataan terbuka bahawa Islam adalah penyelesaian dan berpengalaman menyelesaikan krisis ekonomi dunia yang turut menimpa Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















