Fadhli Umar Aminolhuda.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Madani berdepan beberapa cabaran utama untuk benar-benar menzahirkan roh bagi sebuah negara yang berteraskan prinsip rahmah.

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pertama, jurang ekonomi mesti dirapatkan kerana kesejahteraan tidak boleh hanya dirasai golongan elit sedangkan masyarakat luar bandar terus bergelut dengan isu asas.

“Misalnya kerajaan seharusnya memperkasa social safety net (bantuan tunai bersasar) kepada golongan yang memerlukan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan MySara .

“Begitu juga menggalakkan lebih banyak lagi community based economy seperti Sejati Madani yang tidak tertumpu kepada pertanian, jahitan, pelancongan semata-mata tetapi sektor perfileman, muzik, program digital upskilling dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kedua, integriti kepimpinan perlu dipulihkan kerana rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja merugikan ekonomi tetapi memusnahkan keyakinan rakyat.

Perkara itu katanya, boleh dilaksana jika ada satu garis panduan atau undang-undang yang menyeluruh seperti menyegerakan akta pendanaan politik yang mempromosi ketelusan dalam menyalur sumbangan untuk aktiviti politik.

Hasrat itu ujarnya, selaras dengan aspirasi negara rahmah yang inginkan pentadbiran kerajaan dan parti politik yang bersih, adil serta saksama.

Ketiga pula katanya, pendidikan perlu dijadikan jambatan perpaduan, kurikulum sekolah harus menekankan pemahaman silang budaya dan dialog agama.

Misalnya ujar beliau, mewujudkan platform silang budaya melalui kelab dan persatuan untuk memastikan pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama berkongsi nilai sejagat dan saling hormati menghormati antara satu sama lain.

Justeru kata Fadhli Umar, usaha yang mampan mesti disegerakan misalnya pelaksanaan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara (SRN) 2025.

Sejak ditubuhkan pada 2008 katanya, kini terdapat 193 buah SRN di institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menjadi platform memperkasa mahasiswa sebagai agen perpaduan dan menyemarakkan aspirasi kebangsaan melalui pembudayaan dan kefahaman perihal Rukun Negara secara bersepadu.

Jelasnya, Rukun Negara merupakan asas buat seluruh rakyat Malaysia mengimani setiap ruang kehidupan dalam nuansa kepelbagai latar belakang, kaum dan agama di Malaysia.

Namun, negara rahmah tidak akan terwujud jika kita membiarkan ekstremisme menular, katanya.

“Idea pelampau yang memperdagangkan agama untuk menjustifikasi kebencian mesti ditolak. Kita tidak boleh terus terperangkap dengan politik sempit yang menanam syak wasangka.

“Hari Malaysia tahun ini membawa dua makna besar ulang tahun ke-62 pembentukan Malaysia dan ulang tahun ke-10 kelahiran Amanah.

“Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa keberanian untuk berbeza, mengangkat nilai serta memilih naratif rahmah adalah jalan ke depan. Negara rahmah bukan utopia, ia keperluan untuk memastikan Malaysia terus makmur, adil dan dihormati,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast