Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

ALOR SETAR – Ahli-ahli Pas di semua peringkat diseru meguasai teknologi maklumat khususnya kecerdasan buatan (AI) dalam mempersiapkan parti itu sebagai pemimpin bukan hanya di alam nyata, tetapi juga di alam maya.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azumudden berkata, ahli-ahli Pas perlu membentuk gelombang algoritma yang baik berkenaan parti itu di semua platform media sosial yang dikuasai generasi muda masa kini.

Jelas beliau, ia supaya semua carian mengenai Pas di internet mencadangkan parti itu adalah pilihan terbaik untuk memimpin rakyat dan negara pada masa depan.

“Kita mesti serius memikirkan cabaran dan menguruskan dunia AI dan teknologi pada hari ini.

“Jangan pelik jika pada PRU akan datang, anak-anak muda akan tanya ChatGPT parti mana yang mereka perlu undi…itu akan berlaku.

“Anak-anak muda tidak lagi peduli tentang kempen-kempen politik menggunakan poster, banner, billboard dan sebagainya, tetapi mereka akan tanya ChatGPT,” katanya pada sesi penggulungan sempena Muktamar Pas Pusat ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, semua jentera Pas perlu menjadi pemberi maklumat (feeder) utama di media-media sosial dalam membentuk algoritma supaya pengundi khususnya golongan muda melihat Pas dengan wajah yang sebenar.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi turut merujuk kepada aksi Pemuda Pas yang menunggang motosikal RXZ ketika menghadiri Muktamar Pemuda Pas ke-66 Khamis lalu.

Menurut beliau, aksi itu mendapat perhatian luar biasa dan tular di media sosial, sekali gus menyifatkannya sebagai berjaya mencapai matlamat dalam menyampaikan mesej cabaran yang perlu dihadapi generasi muda masa kini.

“Paling kurang, aksi kami naik motosikal RXZ itu tidak kena `boo’ oleh anak-anak muda seperti yang berlaku kepada seorang pemimpin pada program himpunan RXZ baru-baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast