KUALA LUMPUR – Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Arab-Islam Luar Biasa di Doha yang menegaskan perlunya tindakan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin disokong tanpa belah bahagi.
Menurut Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin, ucapan itu memperlihatkan keberanian Malaysia membawa suara rakyat Palestin ke peringkat global yang mengingatkan dunia bahawa sekadar kenyataan atau resolusi tanpa tindakan konkrit tidak akan mengubah apa-apa.
Katanya, mesej Perdana Menteri itu selari dengan hasrat rakyat Malaysia yang mahukan keadilan buat Palestin.
Ianya juga isyarat jelas bahawa Malaysia menolak budaya ‘tidak dihukum’ di mana jenayah perang boleh dilakukan tanpa sebarang tindakan daripada kuasa besar dunia.
“Ucapan Perdana Menteri membuktikan Malaysia konsisten dalam memperjuangkan isu Palestin. Beliau tidak hanya bercakap soal simpati, tetapi menggesa tindakan konkrit supaya penjenayah perang tidak lagi terlepas.
“Inilah suara kepimpinan yang diperlukan, suara yang berani mencabar ketidakadilan walaupun berdepan tekanan kuasa besar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Antara intipati Anwar dalam ucapannya ialah kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu malah deklarasi tidak akan membebaskan Palestin sebaliknya hukuman tegas mesti dilaksanakan.
Menurut Zainol, keberanian Anwar di pentas Doha membuktikan Malaysia berperanan sebagai jurubicara umat Islam yang ikhlas dan tegas, bukan sekadar mengikut arus diplomasi antarabangsa.
“Malaysia tidak boleh hanya menjadi pemerhati. Perdana Menteri kita telah buktikan bahawa negara kecil seperti Malaysia juga mampu bersuara lantang di pentas dunia.
“Ini kerana yang kita perjuangkan adalah prinsip kemanusiaan sejagat. Ini memberi keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan yang benar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang politik, agar berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri dalam usaha menegakkan keadilan buat Palestin.
“Ini bukan hanya isu politik luar negara, tetapi isu hati nurani. Kita mesti bersama Perdana Menteri dalam menolak penindasan.
“Saya yakin sokongan rakyat Malaysia akan terus memperkukuh keberanian beliau untuk membawa mesej Palestin ke forum-forum antarabangsa lain selepas ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette















