ALOR SETAR – Kerajaan perlu segera menggubal Akta Anti-Buli yang merangkumi definisi jelas perbuatan yang merangkumi fizikal, mental, emosi, sosial dan siber.
Wakil Dewan Muslimat Pas, Husna Hashim berkata, ia harus meliputi perlindungan serta hak pembelaan untuk mangsa serta tanggungjawab institusi pendidikan, majikan dan masyarakat.
“Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia memperkukuh program kesedaran Anti-Buli di sekolah, institusi pengajian tinggi, belia dan tempat kerja,” katanya ketika membahaskan usul sosial pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu menubuhkan Saluran Aduan Khas Anti-Buli peringkat nasional yang mudah diakses, rahsia dan selamat untuk semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan juga mesti mewujudkan satu mekanisme timbang tara di setiap sekolah agar sebarang aduan ketidakpuasan hati antara pelajar dapat dibincang dan diselesaikan secara harmoni,” katanya.
Menurut Husna, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama penuh perlu diwajibkan sebelum sesi persekolahan 2026.
“Kerajaan juga perlu menyokong inisiatif NGO, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan komuniti dalam kempen Anti-Buli, dengan peruntukan khas kerajaan bagi tujuan pencegahan, pendidikan dan pemulihan,” katanya.
Katanya, gejala buli bukan terpencil, bahkan memberi kesan besar kepada negara apabila mangsa trauma seumur hidup, pelaku berpotensi menjadi penjenayah berulang.
“Seterusnya ia merugikan pembangunan modal insan, perpaduan masyarakat dan produktiviti negara.
“Islam menegaskan prinsip keadilan, kasih sayang dan larangan menzalimi sesama manusia, maka membanteras buli adalah tuntutan agama kerana ia jelas suatu bentuk kezaliman,” katanya.
Katanya, kelemahan undang-undang sedia ada yang hanya bergantung kepada peruntukan umum menyebabkan tiada mekanisme khusus untuk pencegahan, perlindungan mangsa dan garis panduan jelas kepada institusi.
“Statistik menunjukkan ratusan kes buli dilaporkan setiap tahun, dengan Malaysia menduduki tempat kedua di Asia dan keenam dunia bagi kes siber buli (UNICEF 2020).
“Malah ada mangsa mengalami kecederaan parah, kemurungan hingga cubaan bunuh diri,” katanya. – MalaysiaGazette
















