Seorang polis bantuan cedera selepas sebuah lori treler tanpa muatan merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda Kechau 8 di Lipis hari ini.

KUANTAN – Seorang polis bantuan cedera selepas sebuah lori treler tanpa muatan merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda Kechau 8 di Lipis dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 9.50 pagi ketika mangsa, Udan A/L Angah, 23, bersama seorang lagi anggota polis bantuan, Muhammad Hazwan Nazli, 32, sedang bertugas di lokasi terbabit.

“Hasil siasatan awal polis mendapati lori treler dipandu lelaki warga tempatan yang berusia 28 tahun dari Sungai Temau menuju ke Kuantan telah hilang kawalan apabila tiba di lokasi itu lalu merempuh Pos Kawalan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, kemalangan itu turut menyebabkan atap dan dinding pos kawalan berkenaan menghempap motosikal milik mangsa yang diletak tepi bangunan itu.

Ismail memaklumkan pemandu lori treler tersebut turut mengalami kecederaan dan kedua-dua mereka diberikan rawatan di Hospital Kuala Lipis.

“Seorang lagi anggota polis bantuan tidak mengalami kecederaan. Kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya.

Beliau dalam masa sama memohon kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast