KUALA LUMPUR – Polis mengesan beberapa individu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian anak lelaki kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rakaman tersebut tidak jelas.
“Kita sedia maklum bahawa ada beberapa individu yang kita kenal pasti melalui rakaman, tetapi rakaman itu tidak nampak begitu jelas dan tidak dapat dikenali indivdu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), di sini, hari ini.
Sementara itu Mohd Khalid berkata, pihak hospital masih dalam proses mengesahkan cecair suntikan yang diberikan kepada anak Ahli Parlimen Pandan itu.
“Siasatan cecair bahan kimia dibuat oleh pihak hospital, jadi kita mengesan tentang pergerakan itu (tunggu perkembangan itu),” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, anak lelaki Rafizi diserang kira-kira 2 petang di kawasan menurunkan penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan.
Pada 22 Ogos lalu, Mohd Khalid memaklumkan polis telah merekodkan keterangan daripada 19 individu, termasuk ahli keluarga Rafizi, berkaitan kes serangan tersebut.-MalaysiaGazette
















