Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Khalid Saion ditemui selepas sidang media di kawasan berbukit, bertentangan Fairview International School, Seksyen 6, Wangsa Maju hari ini.

KUALA LUMPUR –  Simulasi tanah runtuh siri 1/2025 yang dilaksanakan dekat kawasan berbukit di Wangsa Maju di sini berjalan dengan baik sebagai persediaan menghadapi bencana yang sama sekitar ibu negara.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Khalid Saion berkata, sebanyak 16 agensi terlibat dalam simulasi itu dan berharap latihan tersebut akan dipraktikkan apabila berlaku bencana sebenar.

Antara agensi terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ; Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Simulasi ini turut diadakan bertujuan menguji kesiap siagaan semua agensi termasuk daripada segi pergerakan logistik. Logistik apa yang kita atur gerak apabila berlaku sesuatu bencana.

“Kawasan berbukit ini juga dipilih sebagai lokasi simulasi memandangkan pernah berlaku tanah runtuh pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kawasan berbukit bertentangan Fairview International School, Seksyen 6, Wangsa Maju hari ini.

Terdahulu, katanya, simulasi itu bermula pukul 8 pagi diketuai Polis Kuala Lumpur dengan disertai seramai 500 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi terlibat.

“Berdasarkan latihan itu, kita dapati masa yang diambil selepas sesuatu bencana dilaporkan telah menerima respon pantas semua pihak.

“Semua jabatan apabila dihubungi menerusi talian kecemasan di balai dan MERS 999 telah hadir ke lokasi dengan kadar masa yang cepat,” jelasnya.

Pada masa sama, Khalid turut menasihati orang ramai terutamanya pendaki-pendaki kawasan berbukit agar sentiasa cakna dengan keadaan cuaca semasa terutama ketika hujan atau ribut petir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast