PONTIAN – Koperasi Pekebun Kecil (Kepak) Pontian menerima bantuan RM105,000 daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun ini.
Ahli lembaga koperasi tersebut, Mohamad Kasir Zainon berkata, bantuan itu digunakan untuk membina sebuah stor baja di Pusat Timbang dan Buah Tandan Basah (BTB) Parit Selangor di sini.
“Kepak menyasarkan jualan minima kira-kira 20 tan baja setiap bulan untuk peringkat awal dan yakin akan peningkatan jualan pada masa akan datang.
“Kepak kini mempunyai tiga buah pusat timbang yang membeli lebih daripada 1,000 tan sawit setiap bulan dan menjangkakan akan ada peningkatan sehingga 2,000 tan sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Stor Baja di Pusat Timbang Parit Haji Adnan, Pekan Nanas di sini.
Turut hadir Pengerusi Kepak Pontian, Eahwan Zakaria dan Pengarah SKM Johor, Mahzan Nordin.
Kasir berkata, Kepak Pontian merakamkan penghargaan kepada pihak SKM atas sokongan dan bantuan yang diberikan.
Beliau memberitahu, Kepak Pontian ditubuhkan dan didaftarkan pada 8 Julai 1981 dengan nama ringkasnya Kepak Bhd di bawah tajaan Risda.
Menurutnya, Kepak Pontian merupakan sebuah koperasi kelas menengah dianggotai 5,031 pekebun kecil dan kakitangan Risda selain mempunyai 12 ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam mesyuarat agung tahunannya.
Aktiviti perniagaan utamanya kata beliau, membeli dan menjual buah tandan basah (BTS) serta menjual benih kelapa sawit dan membuat kontrak kelas G3 pembersihan serta lanskap serta menceburi bidang hartanah dan perumahan.- MalaysiaGazette
















