KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap anggota yang terlibat dalam kejadian sebuah kenderan agensi itu didakwa melanggar lampu isyarat merah di persimpangan NSK, Jalan Haruan 2, Seremban pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rakaman video tersebut didakwa berlaku sekitar jam  12.20 tengah malam.

“Kita  sedang menjalankan siasatan dan keadaan sebenar insiden itu telah dikenal pasti, setelah siasatan selesai, tindakan dalaman akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas beliau, setiap pegawai dan anggota polis tertakluk kepada peraturan jalan raya kecuali dalam keadaan tertentu yang melibatkan tugasan kecemasan serta memerlukan tindakan segera demi keselamatan dan kelancaran operasi.

Ujarnya, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran prosedur, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang.

Terdahulu tular rakaman papan pemuka (dashcam) memaparkan pengguna jalan raya hampir terlanggar sebuah kereta polis yang dikatakan melanggar lampu isyarat merah, dan orang awam itu sempat membrek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast