Pemain Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak lelaki kebangsaan kini berada di landasan tepat untuk menembusi kelompok 120 pasukan terbaik dunia selepas menghuni kedudukan ke-123 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemas kini terbaharu hari ini, Harimau Malaya berjaya mengumpul 1,148.23 mata, sekali gus naik dua anak tangga berbanding kedudukan ke-125 pada Julai lepas.

Pencapaian dilakar skuad kendalian Peter Cklamovski itu didorong oleh dua kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 baru-baru ini — menewaskan Singapura 2-1 pada 4 Sept, diikuti kejayaan mengejutkan pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia, Palestin, dengan kemenangan 1-0 pada 8 Sept.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kini menduduki tangga keempat terbaik, di belakang Thailand (101), Vietnam (114) dan Indonesia (119).

Sementara itu, juara Euro 2024, Sepanyol, naik satu anak tangga untuk berada di puncak ranking dunia, diikuti Perancis di tempat kedua. Juara Piala Dunia 2022, Argentina, pula jatuh dua anak tangga ke tempat ketiga.

Kemas kini ranking FIFA seterusnya dijadual diumumkan pada 23 Okt ini.

Selepas ini, Malaysia dijadual menyambung kempen Kumpulan F Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Okt sebelum melayani kunjungan lawan sama pada 14 Okt dan Nepal pada 18 Nov di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Malaysia kemudian akan berdepan Vietnam di laman lawan bagi aksi terakhir pusingan kelayakan berkenaan pada Mac depan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast