KOTA TINGGI – Sebuah tokong di tingkat dua bangunan rumah kedai di Jalan Hussen, Kota Kecil di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Bagainanpun kebakaran di premis to rumah kedai tersebut yang dijadikan tokong tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.59 malam.
Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dari BBP Kota Tinggi dan BBP Bandar Tenggara dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 6 kilometer dan tiba kira-kira 5 minit kemudian.
“Mereka dibantu masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan lori tangki.
“Kebakaran melibatkan kedai dua tingkat jenis kekal yang berlaku di tingkat dua iaitu dijadikan tokong. Kira-kira 80 peratus sudah terbakar.
“Selain jentera sedia ada pihak bomba turut menggunakan pili bomba berdekatan dalam usaha memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam.- MalaysiaGazette
















