Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIAR) Peringkat Kebangsaan Ke-4 di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2025.

SEPANG – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berpendapat isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini berpunca daripada tiada perancangan strategik yang teliti selain urus tadbir yang lemah.

Tambah beliau, kefahaman penduduk yang rendah terhadap risiko yang bakal dihadapi mereka juga turut menyebabkan isu tersebut menjadi semakin hangat.

Jelasnya, isu pembangunan semula sesuatu kawasan bukanlah perkara baharu namun kelemahan pendekatan yang diambil pihak terbabit isu berkenaan menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

“Saya tak mengatakan isu itu sebagai isu besar tapi perancangannya itu sebenarnya tak begitu teliti,” katanya dalam ucapan majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIAR) peringkat kebangsaan kali ke-4 di Pusat Konvensyen Movenpick, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dilaksanakan secara teliti dan berhemah dengan mengutamakan kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah, tiada halangan jika kawasan Kampung Bharu dibangunkan sejajar dengan peredaran zaman, namun menegaskan bahawa semua syarat perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Dalam pada itu, Azam berkata, kegagalan pihak terbabit memberi penerangan menyeluruh telah menyebabkan penduduk tidak faham mengenai risiko yang akan dihadapi mereka.

“Bagaimana penduduk-penduduk hendak faham (jika) tidak ada yang memberi panduan kepada mereka, (mereka) mungkin digambarkan dengan wang yang banyak, pampasan yang nak diberikan, jadi mereka nampak yang itu sahaja, yang lain mereka tak nampak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast