KUALA LUMPUR – Seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompetan (CDL) berada dalam status tidak aktif, sama ada tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadli Ramli berkata, semua individu memandu kenderaan di atas jalan perlu mempunyai Lesen Memandu sah dan berkuatkuasa Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
“Adalah menjadi kesalahan bagi pemegang lesen tersebut sekiranya mereka memandu dengan menggunakan lesen tidak aktif.
“Ia akan menimbulkan pelbagai risiko berbangkit kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Aedy berkata, sekiranya pemegang lesen masih berhasrat memandu kenderaan di atas jalan, individu terbabit diwajibkan untuk menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).
“Ia boleh dilakukan di mana-mana Institut Memandu (IM) yang berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu tersebut selaras dengan ketetapan Akta 333,” katanya.
Menurutnya, JPJ menggesa semua pemegang lesen CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun untuk segera mengambil tindakan membuat pembaharuan lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ di seluruh negara.
“Ia bagi mengelak kewajipan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP02 dan KPP03).
“Sila layari pautan https://www.jpj.gov.my/myjpj/ bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan muat naik aplikasi MyJPJ pada peranti mudah alih masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















